66 tahun pendam peluk Islam, mualaf sebak sambut Ramadan kali pertama

Ketibaan Ramadan sememangnya mempunyai rahmat dan keistimewaan tersendiri. Malah berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi dapat melakukan amal ibadah.

Itu yang dirasai seorang wanita warga emas mula tertarik untuk memeluk Islam dan mendalami ilmu agama sejak 66 tahun lalu.

Menurut wanita berbangsa Cina berkenaan, nilai positif yang terkandung dalam ajaran Islam membuatkan dia terbuka hati untuk menerima agama kedamaian itu.

Mula tertarik dengan Islam sejak sekolah lagi

Nur Hidayah Bee Teo bersyukur kerana dapat berpuasa dalam kalangan Muslim selepas memeluk Islam pada 5 Disember tahun lalu.

“Kawan lain sembahyang dan mengaji al-Quran menyebabkan saya tertarik. Saya diam kerana takut keluarga tidak setuju serta marah. Tapi akhirnya tercapai juga walaupun sudah berusia.”

Wanita berusia 74 tahun itu berkata, dia sudah lama pendam hasrat sejak berusia lapan tahun lagi apabila tertarik dengan kelas seorang ustaz mengenai Islam ketika belajar di sebuah sekolah rendah di Besut, Terengganu.

Mengucap bersaksikan rakan baik

Setelah berpindah ke Kelantan, Hidayah berjumpa kembali kawan rapatnya ketika di sekolah yang bekerja di sebuah bank.

Rakannya itu sering bertanya sama ada Chu Bee sudah bersedia untuk memeluk Islam kerana dia tahu wanita berkenaan sangat meminati ajaran Islam.

“Saya kata nanti dulu. Namun pada suatu hari, saya rasa bersedia dan terus mengucap dua kalimah syahadah sambil menangis.”

Chu Bee melafazkan syahadah di sebuah bank iaitu di tempat rakannya bekerja sebelum melakukan perkara sama secara rasmi di Balai Islam Lundang.

Tak sabar nak tarawih buat pertama kali

Katanya, dia memilih nama Nur Hidayah Bee Teo sebagai nama Islam kerana beranggapan dirinya mendapat petunjuk dan pertolongan Allah yang merealisasikan impiannya bagi menerima Islam.

“Saya sebenarnya tiada masalah nak puasa penuh dan tahun ini lebih semangat sebab dah masuk Islam. Saya juga tak sabar nak ke masjid untuk solat tarawih.”

Sumber: BeritaHarian