Setia bersama walau tahu suami hidap kanser, luahan wanita ini buat ramai sebak

Jodoh dan ajal adalah antara contoh ketentuan serta rahsia Ilahi yang telah ditentukan dan tidak dapat dielakkan. Sebagai umat Islam, wajib bagi setiap Muslim untuk terus berusaha dan berdoa agar setiap perkara dipermudahkan.

Tiada manusia yang mahu dan sanggup untuk merasai sakit dan penderitaan. Namun perkara tersebut adalah salah satu cabaran dan dugaan bagi menguji tahap kesabaran seseorang.

Itulah yang dirasai oleh seorang wanita yang mengambil keputusan untuk menikahi suaminya yang menghidap kanser usus tahap empat sehingga dipulaukan rakan sendiri.

Dikritik kerana pilih lelaki hidap kanser

Eydha yang berusia 29 tahun terpaksa menghadapi tohmahan dan pandangan negatif daripada kenalan kerana berkeras untuk mengahwini Amirullah Awi yang menghidap pelbagai penyakit kronik.

“Saya dapat tahu suami hidap kanser tahun lalu. Saya bertambah sedih apabila doktor memberitahu peluang suami tinggal enam bulan untuk hidup.”

Kerana perasaan cinta, Eydha berani ambil risiko

Walau bagaimanapun, Eydha tetap berani menanggung segala risiko yang bakal terjadi dan melangsungkan perkahwinan pada September tahun lalu.

Tambahnya, ada beberapa pihak yang menghalang perkahwinan mereka ekoran kondisi kesihatan suaminya serta merisaukan masa hadapan Eydha jika perkara yang tidak diingini berlaku.

Pernah menitiskan air mata lihat suami terkulai lemah

Eydha mengaku, sepanjang perjalanan hidupnya bersama suami, semangatnya pernah lemah kerana melihat keadaan suami yang kian merosot. Sel kanser dalam badan Amirullah kian merebak dan menyerang hati serta paru-parunya.

“Berkat semangat dan kesabaran, suami selamat jalani pembedahan. Tahap kansernya juga menurun daripada 64% kepada 2.5%.”

Sikap sabar dan positif yang diamalkan kedua-dua pasangan ini terbukti membantu merawat serba sedikit masalah yang dihadapi. Kini, Amirullah tampil lebih sihat, malah doktor mengesahkan kansernya berada dalam fasa tidak aktif.

Sumber: Nona