Abang bomba graduan Al-Azhar, hafal 30 juzuk al-Quran bikin netizen kagum

Setahun lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama yang berfungsi untuk menyelaraskan program keagamaan dan kerohanian termasuk pengurusan jenazah anggota yang terkorban ketika bertugas.

Malah, kebanyakan daripada mereka mempunyai latar belakang pendidikan agama yang tinggi dan ada di antara mereka bergelar hafiz al-Quran.

Menerusi akhbar Sinar Harian, salah seorang Penguasa Bomba, Luqman Ramli, memberitahu dia berhasrat menjadi ahli bomba.

Dia yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah dari Universiti Al-Azhar, Mesir turut menghafal 30 juzuk al-Quran.

Tambah PB Luqman, dia memasuki Maahad tahfiz pada usia 13 tahun selama empat tahun sebelum ke Maktab Mahmud, Langkawi bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Saya memang berhasrat untuk menjadi anggota bomba dan sebab itu saya mengisi permohonan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) secara atas talian.

“Alhamdulillah hasrat saya tercapai dan menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu sebelum ditempatkan di unit integriti di Putrajaya.” katanya

PB Luqman turut memberitahu bahawa, selepas tamat pengajian di Universiti Al Azhar beliau akan kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru tafsir dan hadis di Sekolah Menengah Agama (SMA) Baqayatussolihat selama tiga tahun.

“Berkhidmat sebagai anggota bomba menepati jiwa saya kerana berkelulusan bidang agama tidak semestinya akan bekerja sebagai ustaz.” katanya.

Rata-rata netizen telah memberikan maklum balas positif atas penubuhan unit tersebut. Mereka turut memuji Penguasa Bomba Luqman Ramli kerana dapat dijadikan contoh kepada anggota bomba yang lain.

Sumber : Sinar HarianLuqman bin Ramli