“Aidilfitri tanpa cahaya mata…” – 5 tahun sering diaju soalan anak, lelaki ini beri pesanan

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga, pastinya mengimpikan kehadiran cahaya mata dalam kehidupan mereka berdua. Anak adalah suatu rahmat kurniaan Allah yang paling indah sekali.

Namun jika belum tertulis rezeki buat pasangan tersebut, redha dan bersyukur menjadi pilihan. Walaupun begitu, sebagai orang luar pertanyaan bilakah bakal menimang anak sering menjadi pertanyaan apabila bertemu menjelang lebaran nanti.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook Farhad Hassan telah berkongsi luahan hati dan kisahnya apabila sering mendapat pertanyaan sebegitu daripada sanak-saudara apabila tibanya Aidilfitri.

Perkongsiannya menerusi akaun Facebooknya telah mendapat 5 ribu tanda suka sejak dimuat naik semalam. Ikuti kisah dan luahan hati suami ini.

Menurut Farhad, yang turut belum dikurniakan anak selepas lima tahun berkahwin, dia sering mengingatkan diri supaya tidak mempertikaikan rezeki Allah.

Baginya, perkahwinan tanpa zuriat tiada yang berkurangan namun apa yang penting adalah membimbing isteri dan sebagai suami tunaikan tanggungjawab dengan baik.

Setiap orang memiliki rezeki yang berbeza-beza, jika belum dikurniakan zuriat gunakanlah peluang dan masa untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama pasangan.

Sumber : Farhad Hassan