‘Ini antara hero-hero Ainul!’

LONDON – Bapa kepada bayi berusia lapan bulan, Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell Tumor’, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, menyifatkan dua doktor yang mengiringi mereka ke London untuk memantau kesihatan Ainul sepanjang penerbangan sebagai hero anaknya itu. Menurutnya dalam perkongsian di laman Facebook hari ini, dua doktor hebat itu ialah Doktor Pakar Anestetik Avisena, Datuk Dr Jaseemuddeen Abu Bakar dan Dr Guna dari Subang Jaya Medical Centre (SJMC).

“Mereka berdua yang berhempas-pulas uruskan perpindahan Ainul dari Malaysia ke United Kingdom (UK).

“Tugas mereka adalah kena pastikan Ainul sihat terutama dalam kapal terbang. Ini antara hero-hero Ainul!,” katanya. Semalam, Ainul selamat tiba di London bersama bapa dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS). Ahmad Safiuddin juga berkongsi keadaan terkini Ainul sebaik tiba di sebuah hospital di London semalam di mana dia dalam keadaan baik.

“Cuma oksigennya sahaja sedikit terganggu dan hospital sedang menstabilkannya semula,” katanya. Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang berada di London turut berkesempatan melawat Ainul.

“Alhamdulillah saya berkesempatan melawat Ainul Mardhiah di salah sebuah hospital di London pagi ini (semalam) ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Heathrow untuk pulang ke Malaysia.

“Dia tiba awal pagi tadi (semalam) bersama ayah dan ibunya bagi mendapatkan rawatan di sini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook Kementerian Kesihatan. Dr Dzulkefly turut meminta orang ramai supaya mendoakan agar pembedahan bayi berusia lapan bulan itu berjalan dengan lancar.

“Saya difahamkan Ainul Mardhiah menghidap kanser Germ Cell Tumor sejak dilahirkan. Insya-ALLAH, sama-sama kita doakan yang terbaik,” katanya.

SUMBER