Sate Malaysia menjadi pilihan di Denmark, 600 cucuk pernah dijual sehari

Tuah ayam nampak dikaki tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan rezeki seorang wanita Malaysia setelah gerai satenya yang dibuka di Denmark mendapat sambutan ramai. Gerai yang dikenali sebagai Satay Copenhagen itu berkonsepkan kontena merupakan milik Maslina Mahi. Maslina yang berasal daripada Sarawak itu dan dibesarkan di Kedah itu sangat meminati bidang masakan sebelum mengambil peluang menjual makanan tempatan Malaysia secara kecil-kecilan di negara tersebut.

Beliau telah diberikan kontrak selama setahun untuk membuka gerai sate di sebuah pusat jualan makanan yang terletak di Reffen yang sangat terkenal di kalangan pelancong dan warga tempatan. Pusat jualan makanan yang dibuka setiap hari, 7 hari seminggu itu menempatkan 40 buah trak makanan dengan Maslina merupakan satu-satunya peniaga yang berasal dari Malaysia.

Apabila ditanya mengapa beliau memilih untuk menjual sate sebagai menu utama dan bukannya hidangan tradisional yang lain seperti nasi lemak dan roti canai, berikut merupakan jawapan Maslina:

“Saya memilih sate kerana saya rasakan ia adalah tawaran yang memuaskan dengan rasa antarabangsa. Rasa sate boleh diterima oleh individu daripada pelbagai bangsa dan umur seluruh dunia memandangkan bahan utamanya adalah daging”.

Memandangkan sate bukanlah sejenis makanan yang biasa dijumpai di kota itu, Maslina telah membuat keputusanu untuk memberikan kepada pengunjung pusat makanan itu peluang mencubanya secara percuma. Terdapat tiga pilihan set menu yang ditawarkan di Satay Copenhagen yang dihidangkan bersama kuah kacang buatan sendiri, timun dan juga ketupat. Set berkenaan adalah empat, enam dan 10 batang sate yang berharga di antara RM37 hingga RM62.

Selain sate, Maslina turut menjual beberapa jenis hidangan tempatan yang lain seperti laksa kari dan nasi ayam yang hanya dijual pada waktu-waktu tertentu sahaja. Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, beliau boleh menjual sehingga 300 cucuk sate dan jumlah ini boleh meningkat sehingga 600 sate sehari terutamanya pada musim panas dan musim bunga dari bulan Jun hingga penhujung Julai.

Buat mereka yang sedang mengembara di Denmark dan mahu mencuba sate di perantauan ini, bolehlah singgah di Satay Copenhagen di lokasi berikut:

Alamat: A, Refshalevej 167, 1432 København, Denmark

Waktu operasi: 11 pagi hingga 10 malam setiap hari

SUMBER