Berlapar hantar makanan, pemberian pelanggan Cina buat rider GrabFood ini nak menangis, “Terharu dia hargai kerja saya”

BAGI mereka yang tugasnya ‘bergelumang’ dengan makanan, cabaran kerja pasti bertambah khususnya di bulan Ramandan. Begitulah yang dihadapi oleh Muhammad Suhaimi Hussin, 18, yang bekerja sebagai penghantar makanan di sekitar ibu kota. Namun, penat lelah kerjanya seakan-akan terubat apabila wujud pelanggan yang menghargai dirinya.

Mesra disapa Suhaimi, dia mengakui terharu apabila pelanggan berbangsa Cina yang ditemuinya pada Isnin lalu menghadiahkan sepucuk surat buatnya. Malah, individu itu turut memberi sedikit wang di dalam sampul sebagai tanda penghargaan di atas usaha Suhaimi menghantar makanan dalam bulan puasa.

“Apabila saya hantar makanan di sebuah rumah, saya tengok ada empat orang. Ada budak dan guru, mereka tengah belajar.

“Salah seorang budak tu yang ambil makanan dan serahkan surat kepada saya. Masa jalan ke lif, saya baca dan senyum sahaja.

“Lepas tu baru saya perasan mereka selitkan RM5. Saya agak terkejut, walaupun nilai kecil, saya tetap terharu sebab dia hargai kerja saya,” ujarnya sewaktu dihubungi mStar pada Khamis.

Mungkin dia pun nak hargai saya, sebab saya Melayu yang berpuasa, hantar makanan kepada mereka pada siang hari.

Suhaimi membuat perkongsian mengenai peristiwa itu di laman Instagram sebelum rakannya, Alif Haikal memuat naik semula ke laman Twitter. Ia pantas menarik perhatian ramai sehingga menerima hampir 15,000 ulang kicau(Retweet).

“Terima kasih untuk penghantaran makanan, selamat berpuasa.

“Terima kasih atas kerja keras dan sentiasa cemerlang dalam pekerjaan,” tulis individu itu menerusi surat yang dimuat naik oleh Suhami.

 

Kata Suhaimi, dia terasa seperti ingin menangis kerana dihargai atas kerja yang dilakukannya. Malah, ia juga membuktikan perpaduan kaum dan bangsa di negara ini masih lagi utuh dan harmoni.

“Pada saya tak ada sesiapa yang bersifat perkauman. Semua kita saling menghargai tak kira kaum.

“Mungkin dia pun nak hargai saya, sebab saya Melayu yang berpuasa, hantar makanan kepada mereka pada siang hari,” katanya lagi.

Suhaimi yang menetap di Hulu Langat, Selangor mula menjadi penghantar makanan sejak Januari lalu. Dia yang menamatkan persekolahan pada tahun lalu bekerja secara sambilan sementara menunggu panggilan menyambung pelajaran. Dalam pada itu, rata-rata netizen turut meninggalkan komen menerusi posting itu.

“Bila dapat pelanggan yang memahami ni terharu dia lain macam do,” tulis @emannsrn.

“Janganla racist. My Chinese friend siap nak call kan bangun sahur tau start esok sebab aku asyik bangun lambat je diaorang kesian sebab takut aku lapar,” tulis seorang lagi netizen.

SUMBER