RM30,000 sehala, Orang Kelantan paling ramai sewa helikopter untuk Elak ‘jem’ balik raya

Beberapa hari lalu, media tempatan melaporkan kira-kira sejuta kenderaan akan masuk ke Kelantan sempena cuti persekolahan dan sambutan Aidilfitri ini. Terbaru menerusi laporan Sinar Harian, perkhidmatan helikopter dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu mendapat permintaan tinggi bagi mereka yang mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas. Menurut pemilik syarikat pengurusan, Hazmi Dimasyq Group, Hazmi Hanipa, lebih 20 buah helikopter disediakan dan perkhidmatan di musim perayaan ini adalah kali pertama diperkenalkan.

“Setakat ini, kita mendapat 11 permintaan yang mana paling tinggi adalah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. “Penerbangan pertama bermula pada 3 Jun ini dan harga penerbangan ke Kelantan mencecah RM30,000 untuk sehala,” katanya.

Tambah anak kelahiran Gua Musang itu, beliau tidak menyangka perkhidmatan tersebut mendapat permintaan tinggi terutamanya dalam kalangan ahli korporat.

“Untuk Kelantan sahaja, kita ada empat penerbangan setakat ini. Kita menyediakan dua jenis helikopter iaitu muatan tiga dan enam penumpang. “Untuk penerbangan enam penumpang, harganya mencecah RM17,000 untuk satu jam dan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu memakan masa tiga jam. “Alhamdulillah, melihat kepada permintaan, kita akan meneruskan perkhidmatan ini untuk musim-musim perayaan seterusnya,” ujarnya.

Posting berkenaan mengundang perhatian netizen untuk memberikan komen yang rata-rata turut mengakui segelintir rakyat Kelantan berkemampuan bagi melakukan perkara tersebut.

Sumber : Sinar Harian