Anak tertinggal di R&R

PERJALANAN balik kampung ibu beranak enam ini pasti menjadi kenangan tidak dapat dilupakan seumur hidupnya apabila dia secara tidak sengaja tertinggal seorang anaknya di sebuah stesen minyak di hentian rehat dan rawat (R&R) Temerloh menghala ke arah pantai timur, semalam.

Kejadian dipercayai kira-kira jam 2 petang itu, wanita itu secara tidak sengaja meneruskan perjalanan ke arah pantai timur selepas berhenti untuk menunaikan solat.

Wanita terbabit kemudian memuat naik kicauan di laman sosial Twitternya pada jam 2.47 petang yang meminta orang ramai yang berada berhampiran Temerloh membantunya.

Menerusi akaun Twitter @Sutungmenjerit, wanita itu memuat naik kicauan “Sesiapa berdekatan Temerloh mohon bantu Che Jah..anak dara I tertinggal kat Shell R&R Temerloh..Now mama kat 143.6 km arah timur.”

Difahamkan anak wanita berkenaan adalah kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan dipercayai tertinggal ketika mereka sekeluarga berhenti untuk bersembahyang.

Menerusi laman Twitternya, wanita itu menjelaskan dia mempunyai enam anak yang mana ada di antara mereka sedang tidur, turun solat dan duduk di luar kereta.

Bagaimanapun dia menyangkakan semua anaknya sudah menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) model Toyota Estima selepas melihat anak sulungnya memasuki kenderaan itu sebelum meneruskan perjalanan.

Wanita itu kemudian memaklumkan kejadian itu disedarinya selepas melakukan perjalanan kira-kira 15 kilometer dan hampir memasuki Bandar Maran sebelum dihubungi pekerja stesen minyak itu memberitahu anaknya tertinggal di stesen minyak berkenaan.

Wanita itu kemudian sekali lagi memuat naik gambar anak perempuannya jam 3.34 petang bersama pekerja Shell yang sedang berada di atas motosikal dikenali sebagai Suria di Twitternya.

Dia memaklumkan kakitangan stesen minyak itu akan menghantar anaknya kepada mereka sekeluarga.

Kejadian mencemaskan itu akhirnya selesai apabila kanak-kanak itu dipertemukan kembali dengan keluarganya.

Malah, ibu kanak-kanak itu turut mengucapkan syukur serta berterima kasih kepada mereka yang membantunya.

SUMBER – hmetro