Pelik atuk tiba2 nk kluar rumah mlm2, rupanya ‘brg’ dia kne sorok dgn nenek

Assalamualaikum kepada semua. Selamat hari raya kepada semua. Aku nak cerita pasal atuk aku. Atuk dan nenek aku ni tinggal sekampung dengan aku. Selang tiga buah rumah je. Kami berasal dari utara tanah air. Kawasan bendang. Negeri Jelapang padi, so hampa mesti da boleh agak negeri mana kan.. Atuk aku ni seorang yang sangat berani dan sangat garang. Dia berketurunan pendekar. Dia boleh tidur kat belakang rumah sorang-sorang semata-mata nak tunggu lembu dia sebab masa tu memang banyak kes curi lembu kat kampung aku. Jalan tengah-tengah malam. Dia selalu jumpa jugak dengan makhluk-makhluk ghaib tu. Tapi dia buat tak tahu je. Apa dia kisah. Orang kampung kami pon mmg da kenal dgn keberanian dia.

Baru-baru ni, atuk aku ni demam. Memang panas la tubuh dia. Dia tak larat nak berjalan. Dia lebih banyak berbaring. Puas nenek dan ayah aku pujuk untuk ke klinik. Tapi dia tetap tak nak pergi. Dia cuma nak pergi jumpa bomoh untuk berurut je.

Sebenarnya bukan bomoh pun, pakcik yg tukang urut tu cuma ada kelebihan mengurut bdan orng tua dan dia ada kelebihan mengenal pasti kita terkena sampuk ke tidak. Masih guna bacaan ayat al quran untuk mengubati pskit dia. Cuma kalau orng kmpung panggil dia tok bomoh je.

Ayah aku turutkan saja kehendak dia. Malam tu, waktu aku lepas gosok gigi, aku dengar orang tengah bercakap kat luar rumah. Aku pun intai la nak tengok siapa.

Waktu tu jam dah nak masuk pukul 12 tengah malam. Bila aku intai tu, aku nampak nenek aku sedang bercakap dengan ayah aku. Aku pun pasang telinga je la.

Lepas nenek aku pergi, aku tanya ayah aku kenapa nenek datang. Ayah aku cakap, atuk aku keluar dari rumah. Tak tahu pergi mana. Dah cakap jangan keluar. Tapi dia still nak keluar.

So, malam tu aku, ayah, adik dan mak aku cepat-cepat gi rumah nenek untuk cari atuk. Kitaorang berkumpul kat tangga sebab nak tahu atuk pergi ke arah mana.

Tiba-tiba dari jauh adik aku nampak kelibat atuk aku sedang berjalan keluar dari satu simpang menuju ke satu jalan hutan yang merupakan jalan pintas. Adik aku bagitahu ayah. Cepat-cepat ayah hidupkan motor dia dan berlalu ke arah yang ditunjukkan oleh adik aku.

Yang lain menunggu di beranda rumah nenek sementara menunggu ayah aku bawa atuk balik. Lama kami menunggu. Setelah tu baru kelihatan ayah dan atuk aku sedang berjalan kaki menuju ke rumah.

Dalam lebih kurang beberapa meter nak sampai ke rumah, ayah aku tinggalkan atuk kejap untuk ambik motor dia. Lepas je ayah aku pergi, atuk aku berhenti.

Dia pandang satu lorong jalan yang sangat gelap dekat sebelah kiri dia. Perlahan-lahan dia berjalan memasuki lorong tu. Aku pun apalagi. Terus berlari mendapatkan atuk aku.

Aku pimpin dia ajak balik. Tapi dia cakap dia nak jalan-jalan. Aku cakap tak boleh sebab dah lewat malam. Dia cakap dia nak jugak sebab dia serabut. Dia tak nak balik rumah. Aku pimpin jugak dia bawak balik rumah.

Sampai dirumah, dia tak nak masuk dalam rumah. Duduk di beranda tu je. Dia cakap tak boleh tengok rumah ni. Dia benci. Dia cuba nak lari,tapi ayah aku peluk dia.

Cuba tenangkan dia. Mereka sama-sama menangis. Lama kitaorang kat luar tu. Lama lepas tu baru dapat bawa atuk masuk dalam rumah.

Bila masuk dalam rumah, atuk berjalan duduk di katil yang berada berdekatan dengan dapur. Dia tak nak duduk kat tempat tidur dia. Ayah aku ikut je. Tak lama lepas tu,ayah aku datang kat kitaorang. Aku pun pergi dekat atuk aku.

Waktu tu atuk aku tidak mengalihkan pandangannya dari memandang bilik lamanya yang kini hanya dijadikan tempat menyimpan barang. Memang dia tak pandang tempat lain. Dia merenung tajam ke arah bilik tu.

Aku cuba berbual dengan dia. Aku tanya dia nak pergi mana malam-malam ni. Dia cakap tak tahu nak gi mana. Tapi dia nak pergi. Dia benci rumah ni. Aku tanya kenapa benci rumah ni. Dia cakap dia benci la. Tak boleh tengok.

Aku pujuk dia untuk tidur. Tapi dia cepat-cepat bangun untuk lari lagi. Cepat-cepat aku pegang dia dan pujuk dia untuk tidur. Pintu rumah semua dah dikunci dengan mangga. Waktu tu aku aja yang duduk dekat dia. Yang lain kat ruang tamu.

Dia tanya aku mana kunci. Aku cakap aku tak tahu dan suruh dia tidur. Aku pujuk dia dengan cakap aku baring kat sebelah dia. Dah lama aku tak tidur dengan dia. Dia pun baring. Aku pura-pura pejamkan mata. Dia pusing pandang aku.

Then lepas tu dia cuba untuk bangun lagi. Aku pegang dia lagi. Dia pun kembali baring. Tapi sekejap je. Dia bangun duduk bersila atas katil. Aku pun bangun. Aku suruh dia tidur. Dia cakap “Fasha tidurlah. Atuk nak keluar jalan”. Aku tanya dia “Atuk nak gi mana. Dah lewat dah ni”.

Dia jawab “Fasha tidurlah. Atuk tunggu kawan atuk datang. Dia ajak atuk jalan-jalan. Aku tanya lagi “Kawan atuk siapa? Kenapa dia ajak atuk keluar malam-malam ni. Dia datang dengan apa”? Atuk aku cakap kawan dia datang jalan kaki. Aku cakap la suruh kawan dia tu datang esok.

Dia suruh aku tidur. Bwgitulah keadaan berlarutan. Beberapa kali atuk cuba untuk keluar dari rumah. Sampai jam menunjukkan pukul dua lebih, dia kembali baring. Lepas tu aku bangun ajak adik aku tidur atas katil dengan aku dan atuk. So, kitaorang bertiga la ada atas katil tu.

Seram tu mmg la seram, sesekali blu roma aku naik juga rasa menebal kt leher. Aku pejam mata buat tak tahu je. Mulut aku je terkumat kamit baca surah 3 qul.

Waktu tengah cuba nak melelapkan mata tu, tiba-tiba aku terdengar bunyi orang berjalan dalam bilik stor tu. Bunyi cakaran. Kemudian bunyi seolah-olah ada yang sedang membuka pintu gril besi yang menghalang dapur dengan tempat kitaorang tidur. Aku dan adik aku saling berpandangan. Serentak kitaorang bangun untuk ke ruang tamu.

Kenapa atuk aku macam tu? Apa yang dia benci dengan rumah tu? Siapa kawan dia tu? Bunyi apa yang aku dengar? Segala macam persoalan bermain di minda aku.

Lepas aku dan adik aku dengar bunyi tu, kitaorang berdua pergi balik kat ruang tamu. Ceritakan apa yang berlaku dekat mak dan nenek aku memandangkan ayah dan pak cik aku dah tidur waktu tu sebab terlampau letih. Aku minta tolong nenek tutupkan pintu bilik atuk aku yang terbuka tu.

Masa nenek aku tutup pintu bilik tu, atuk aku yang tengah baring pandang nenek aku dengan pandangan yang tajam. Atuk memang tak tidur pun. Lepas tu kitaorang pergi balik kat ruang tamu.

Aku dah takut dah masa tu nak tidur balik kat sana. Tapi memandangkan aku taknak biarkan atuk aku sorang-sorang, aku pergi jugak.

Sampai je kat situ, aku tengok atuk aku dah baring kat bawah. Terkejut aku. Bila dia nampak je aku, dia tanya aku “Mana kunci”?. Dia minta anak kunci rumah dengan aku. Aku jawab la aku tak tahu then aku naik tidur atas katil. Terus tertidur sebab aku pun memang dah mengantuk sangat.

Aku terjaga lebih kurang pukul lima lebih. Aku nampak pak cik dengan adik aku sedang tahan atuk aku yang cuba nak keluar rumah tu. Mak dan ayah aku dah balik rumah sebab diorang bekerja. Jadi tinggal kitaorang je la. Adik aku bagitahu aku memang atuk aku tak tidur langsung dari semalam. Dia berusaha jugak nak keluar.

Bila masuk fardhu subuh,kitaorang bergilir- gilir solat. Pak cik aku ajak atuk aku solat. Tapi atuk diam je. Pak cik aku pujuk lagi tapi atuk aku tetap diam.

Bila dah siap solat semua,kitaorang berkumpul balik kat ruang tamu. Pak cik aku bawak atuk aku sekali duduk situ. Tak lama lepas tu ayah aku datang. Aku bagitahu ayah yang atuk tak nak solat. Ayah aku cuba pujuk dia untuk solat. Atuk aku jawab “Solat apa? Nak solat buat apa.

Aku nak keluar”. Itu yang atuk aku jawab. Ayah aku pujuk lagi. Tapi dia tetap tak nak. Makan apapun dia tak nak. Nenek aku yang duduk kat kerusi berhampiran masa tu menangis. “Nenek nak buat apa ni?

Nenek tak kuat nak hadapi kalau takde Man dan Rul. Tak payah pergi kerja ye hari ni”, luah nenek aku dekat Ayah dan pak cik aku. Aku peluk nenek aku cuba pujuk dia.

Pak cik aku dapat cuti. Tapi ayah aku tak sebab dia ada perkara penting untuk diuruskan. Sampai lebih kurang pukul 10 lebih macamtu, pak cik aku dah tak tahan. Dia cakap kita biarkan dia pergi dan kita ekori dia dari belakang. Kita tengok mana dia nak pergi.

Sebab atuk aku pun dah mula mengamuk nak pecahkan pintu. Minta parang. Dia dah mula pkul nenek aku untuk minta kunci. So kitaorang lepaskan dia dan ikut dia dari belakang. Ikut punya ikut,sampai la ke sebuah rumah yang belum siap dibina. Dia masuk mundar mandi dalam tu.

Then dia tidur dalam rumah tu. Waktu tu ayah aku dah balik. So ayah aku pun datang la kat tempat tu untuk cuba pujuk atuk aku balik. Tapi dia tetap taknak balik. Dia nak tidur situ. Jadi kitaorang biarkan saja dan tunggu dia.

Petang tu, nenek dan pak cik datang rumah. Dia cakap atuk aku kunci pintu dari dalam selepas dia buang semua pakaian nenek aku. Petang itu jugak kawan ayah aku sampai. Dia ada ilmu dalam bab-bab macam ni.

Dia pujuk atuk aku untuk buka pintu. Dan alhamdulillah. Aku tengok atuk aku boleh berbual macam biasa. Pagi esoknya, aku kena balik KL sebab aku dah kena masuk kerja. Aku pergi rumah atuk dan nenek untuk salam dengan diorang sebelum naik bas.

Aku tengok atuk aku sedang menyiram pokok di laman rumah. Dia baru balik dari masjid masa tu. Selepas dah salam semua, aku pun bertolak untuk ke KL.

Malam tu mak aku call aku. Dia bagitahu atuk dah jadi macam tu balik. Mak aku cerita semua tentang atuk aku yang baru dapat tahu hari tu. Atuk aku ni ada sebilah parang. Parang tu ada penunggunya. Dari parang itulah dia dapat semangat kekuatan dan keberanian.

Selalunya sebulan sekali dia akan cucikan parang tu. Tapi dab berbulan-bulan dia tak buat. Itu yang penunggu parang tu ganggu emosi dan fikiran atuk aku sebab tubuh dia dah lemah. Atuk aku pernah janji nak bagi parang tu dekat kawan ayah aku.

Tapi penunggu tu tak nak. Dia nak duduk dengan drah daging atuk aku sahaja. Dia marah kat nenek aku sebab nenek aku sorokkan parang dia.

Nenek aku buat macam tu sebab dia takut atuk aku buat yang bukan-bukan masa dia mengamuk. Dan dalam bilik tu la atuk aku simpan parang tu. Masa tu aku terfikir, selama ni bunyi yang aku dengar masa tidur kat rumah atuk aku selama ni tu betul.

Sebab ada sesuatu dalam rumah tu. Mak aku cakap, sekarang benda tu nak cari pengganti. Tapi ayah dan pak cik aku tak mahu. Itu semua syirik. Menangis kami waktu tu sebab fikir apa yang akan jadi dengan atuk. Itu semua perkara syirik. Orang zaman dulu banyak amalkan ilmu-ilmu macam ni.

Yang paling aku sedih bila mak aku bagitahu yang kawan ayah aku bagitahu atuk aku mungkin dah tak lama sebab tubuh dia dah terlalu lemah. Aku tanya mak apa yang perlu dibuat. Sekarang ni kitaorang tengah fikir cara nak buang penunggu tu. Atuk aku tetap dengan keadaan macam tu. Kawan yang dia maksudkan tu adalah penunggu parang tu.

Itulah kisah yang aku nak kongsikan. Banyak yang aku dah skip. Maaf kalau kisah aku ni tak semenarik kisah-kisah yang pernah korang baca.

Tapi ni kisah aku. Kisah yang berlaku pada aku dan keluarga aku. Aku cuma nak luahkan memandangkan ini adalah medium yang disediakan untuk orang-orang berkongsi kisah mereka. Maaf kalau aku bazirkan masa korang untuk baca kisah aku ni.

Cuma satu yang aku minta dari korang semua, tolong doakan atuk aku ye. Tolong doakan semoga semuanya dipermudahkan. Hanya tu yang aku minta. Aku minta maaf ye.

Oh ye. Satu lagi aku nak minta. Kalau korang takde apa-apa yang baik untuk dikatakan, korang jangan komen ye. Aku cuma nak baca komen-komen yang membina. Yang boleh menenangkan hati aku. Sekali lagi aku minta maaf dengan korang semua ye. Terima kasih.

Sumber : utusanviralral