Akhirnya Ibu Dedah Ini Keadaan Terkini Adik Aisyah, “Dia Kerap Menyendiri Dalam Bilik Sambil Membongkokkan Badan”

Kerap menangis tanpa sebab. Begitulah keadaan Nur Aisyah Hasmizan, 2, selepas diculik seorang lelaki warga asing sebelum dia ditinggalkan bersendirian di hutan dan dihurung ratusan ekor serangga setahun yang lalu.

Walaupun dia masih kecil ketika kejadian itu berlaku, namun keadaannya kini yang sukar didekati dan kerap menangis membuktikan bahawa Nur Aisyah masih trauma.

Ibunya, Siti Noorfadila Yusofe, 31, berkata, sejak tragedi itu, Nur Aisyah tidak boleh ditinggalkan bersendirian.

“ Saya dan suami (Hasmizan Othman, 36) memang tak boleh nak tinggalkan dia, sebab kalau dengan orang lain dia memang mudah takut.

“ Dulu, saya nampak dia aktif dan suka bermain walau dengan mereka yang tidak dikenali. Tapi sekarang susah nak tengok dia seronok macam dulu, malah dengan empat kakaknya pun tak setiap masa dia nak bermain.

“ Selalu memang dia cari saya atau suami saja, tak boleh berenggang. Tapi kebiasaannya memang dia nak dengan saya. Jadi, apa saja saya buat, Nur Aisyah mesti dibawa bersama walaupun masa tu saya sibuk uruskan perniagaan atas talian.

” Bila dia menangis, saya kena bagi perhatian dan layani kehendaknya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Siti Noorfadila berkata, adakalanya, Aisyah yang leka bermain di sebelahnya akan menangis tiba-tiba meskipun tidak diganggu sesiapa.

“ Kami bagi mainan atau umpan dia untuk belikan aiskrim termasuklah ajak berjalan-jalan memang dia tak nak. Dia menangis saja, tapi tak beritahu apa yang dia nak, apa yang tak kena. Kadang-kadang kami tak mampu tenangkan dia sehinggalah Aisyah sendiri yang berhenti menangis.

“ Bayangkan setiap hari, pasti ada beberapa kali dia akan berperangai demikian sampai saya terdetik apalah yang dilalui anak saya masa kena culik sampai dia trauma sampai ke saat ini,” katanya.

Menurutnya, masa awal kejadian, Nur Aisyah langsung tak boleh tengok kumpulan lelaki warga asing berkulit gelap kerana dia pasti akan sembunyikan muka dan menggigil ketakutan.

“ Dia juga kerap menyendiri dalam bilik sambil membongkokkan badan seakan bersujud dan menutup seluruh badannya dengan selimut.

“ Namun kini, trauma itu mulai terkawal. Tapi adakalanya tabiat itu datang juga macam takut melihat kumpulan warga asing dan menyorok dalam selimut.

“ Berdasarkan kenyataan polis dahulu, Aisyah memang ditemui terbaring dan lengkap berpakaian, tapi ada kain tebal di sekitarnya yang juga menjadi barang kes. Saya dan suami fikir mungkin masa Aisyah berseorangan, kain itu digunakan untuk dia menyorok dengan kedudukannya seakan bersujud,” katanya.

Luka masih ada

Dalam pada itu, Siti Noorfadila berkata, walaupun Nur Aisyah tidak lagi menjalani sebarang rawatan akibat kecederaannya sebelum ini, namun luka kecil itu belum pulih sepenuhnya.

Katanya, tengkuk belakang kanak-kanak itu sehingga kini kemerahan dan adakalanya naik ruam tanpa disedari.

“ Dulu, masa Aisyah baru ditemui, keadaannya memang menyayat hati kerana seluruh badan luka digigit serangga terutama di bahagian tengkuk, malah mulutnya juga bengkak dan bernanah. “Bagaimanapun, anggota tubuh termasuk mulut mulai pulih, cuma ada beberapa parut tak hilang,” katanya.

Siti Noorfadila berkata,7 Jun lalu Aisyah juga menangis seharian dan langsung tidak boleh dipujuk. “Bangun sahaja tidur dia menangis tak henti-henti sepanjang hari itu. Dengan kerenahnya kini, kami bimbang sekiranya ia berlarutan sampailah dia dah besar nanti,” katanya.

Kesan merah di tengkuk Aisyah yang masih kelihatan.

Dia berkata, harapannya bersama suami kini hanya mahu melihat puteri mereka itu membesar sempurna.

“ Kalaulah boleh buang memori hitam itu, saya dah lama dah buat. Ibu mana yang tak sedih bila lihat keadaan anaknya seperti ini, dia nampak sihat, tapi itu secara luaran saja,” katanya.

Hargai keprihatianan semua pihak

Dalam pada itu, Siti Noorfadila merakamkan penghargaan buat semua pihak termasuk orang awam yang banyak membantu dan mengambil berat keadaan mereka sekeluarga.

“ Disebabkan kejadian itu, Aisyah dapat ramai ibu angkat di seluruh Malaysia. Sehingga kini pun masih ada yang mesej saya di Facebook tanyakan keadaan Aisyah dan tidak terkecuali datang ziarahnya.

“ Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak serta warga polis yang banyak membantu kami. Sememangnya bulan Ramadan dan Syawal ini memberi kesan mendalam kerana kami sekeluarga juga tidak terlepas daripada membayangkan peristiwa hitam yang pernah berlaku di pagi sahur itu,” ujarnya.

Sumber: sinarharian