Mizz Nina reda jika auratnya masih jadi tontonan umum… “Dah minta YouTube bu ang video-video lama”

ISTERI kepada penyanyi Noh Salleh iaitu Mizz Nina memberitahu dia sudah menghubungi pihak YouTube untuk menghapuskan video-videonya di platform itu ketika bergiat aktif dalam bidang seni.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 38, berkata dia menganggap ada hikmah disebalik apa yang berlaku dan reda jika video tersebut masih dapat ditonton umum.

“Saya cuba menghubungi pihak YouTube untuk minta buang video-video muzik saya sebelum ini. Tapi malangnya tidak berjaya.

“Tapi saya anggap saja mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku,” kata Mizz Nina kepada mStar.

Mizz Nina anggap ada hikmah disebalik apa yang berlaku.

Mizz Nina ditemui ketika majlis sidang media dan upacara menandatangani perjanjian usahasama antara IntoTaqwa & AMAL (Malaysia Airlines Berhad) di Avenue K, Kuala Lumpur pada baru-baru ini.

Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Around The World ini mengambil keputusan untuk memakai hijab pada 2013 dan kehidupannya berubah semenjak penghijrahan tersebut.

Dalam pada itu, Mizz Nina menjelaskan dia tidak mempunyai hasrat untuk kembali dalam bidang nyanyian semenjak sudah berhijrah ke arah yang lebih baik.

Menurut Mizz Nina, dia mahu lebih memberi tumpuan kepada kerja amal dan dalam pada masa yang sama juga ada menyimpan hasrat untuk menerbitkan buku.

Mizz Nina tidak berminat untuk menyanyi semula.

“Sekarang ini memang saya dah tak minat pun nak menyanyi nak buat persembahan. Perasaan tu dah tak ada dan walaupun di rumah atau dalam bilik air pun tak ada.

“Sebenarnya sebelum saya berhijrah ini pun, saya dah rasa malas nak buat persembahan. Tapi saya sangat berminat dalam meluahkan perasaan dan berkongsi pendapat menerusi penulisan.

“Saya suka menulis dan berkongsi di laman sosial. Saya memang ada perancangan untuk terbitkan buku tapi tak berkesempatan untuk menyiapkan lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, Mizz ini pernah berkata keputusannya untuk melakukan penghijrahan besar dalam hidupnya bukan sesuatu perkara yang mudah.

Sumber : Mstar