Kami Terima..Dijodohkan..Ini Respon Khai Bahar dan Siti Nordiana

Penyanyi Khai Bahar akui menerima sahaja doa yang baik daripada peminatnya termasuklah apabila mereka mahu melihat dia dan penyanyi Siti Nordiana disatukan.

Menurut Khai, peminat sentiasa mengaitkannya dengan Siti Nordiana atau Nana meskipun dia sudah berulang kali mengatakan hubungan mereka tidak lebih seperti adik dan kakak.

“Bila peminat mendoakan jodoh kami, ia satu doa yang baik jadi kami terima dengan hati terbuka.

“Saya bukan nak memainkan perasaan orang di luar sana kerana saya sudah banyak kali mengatakan Nana saya sudah anggap seperti kakak saya,” katanya kepada Gempak.

Khai dan Nana ditemui ketika pelancaran lagu dan muzik video duet terbaharu mereka, Satukan Rasa di Holiday Villa, Subang Jaya.

Sementara itu, Nana pula berpendapat peminat suka untuk mengaitkan mereka kerana masing-masing masih solo dan belum berkahwin.

“Pada saya perkara ini memang normal, selagi kami tiada pasangan orang akan sentiasa cuba hendak jodohkan kami.

“Saya sendiri kasihan juga pada Khai, apabila dia berkawan rapat tetapi kena gosip dengan wanita yang jauh lebih tua. Tapi Khai sendiri macam suka bila dia kena gosip dengan orang tua,” katanya.

Dakwaan hubungan istimewa antara Nana dan Khai hangat diperkatakan apabila Khai sendiri, memuat naik gambarnya di Instagram bersama wanita misteri bagi gimik promosi lagu Satukan Rasa.

Peminat memberi respon positif dan cuba ‘menjodohkan’ mereka apabila mendapat tahu wanita itu adalah Nana.