Ainul Akan Dibawa Pulang Tapi Bapanya Beritahu “Balik Secara Senyap-Senyap” Dan Ini Sebabnya

Bapa kepada Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, memaklumkan yang anaknya itu akan dibawa pulang ke tanah air secara senyap.

Ahmad Safiuddin berkata, dia dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi sedang melakukan persiapan untuk membawa anaknya itu pulang ke Malaysia, tidak lama lagi.

“Tarikh tidak akan diberitahu atas nasihat doktor di sini (London) sebab takut ramai akan tunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti. Kami akan balik secara senyap-senyap berikutan Ainul dalam fasa untuk sembuh dan badannya masih belum kuat.

“Harap semua orang faham keadaan Ainul, demi mengelakkan anak kami daripada jangkitan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Ahmad Safiuddin memuat naik gambar anaknya kira-kira dua jam ang lalu dengan keterangan ‘Dah ready ke kakak (Ainul)’. Status dimuat naik di laman Facebook itu kemudiannya mendapat 5,800 reaksi, 116 komen dan 205 perkongsian.

Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu.

Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

“Ainul ‘Happy’ Dapat Bermain”, Nurul Erwani Zaidi

Ibu Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, Nurul Erwani Zaidi berkongsi kegembiraan di laman sosial Instagram miliknya, _nrlerwani, hari ini, apabila bayi perempuannya berusia 10 bulan itu kini sudah pandai meniarap dan bermain permainan.

Nurul Erwani, 24, berkata, doktor yang merawat dan memantau kesihatan Ainul Mardhiah turut menyifatkan anaknya itu cerdik dan cepat sangat belajar.

“Alhamdulillah seronok Ainul dapat meniarap, grab (genggam) mainan. Dr (doktor) bagi mainan macam-macam, ada lampu-lampu. Dr sangat happy (gembira) dengan Ainul sebab Ainul cerdik, cepat sangat belajar apa yang Dr suruh buat.

“Tersenyum simpul Ainul dapat main dengan Dr hari ni. Dr dekat sini pun sangat positif, bagi pujian dekat Ainul,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Instagram miliknya.

Dalam hantaran itu, Nurul Erwani juga menjelaskan dia akan membuat rakaman video Ainul Mardhiah.

“Nanti mama (Nurul Erwani) buat video ya tunjuk Ainul meniarap. Sekarang Ainul tengah tidur baru lepas belajar meniarap, dah penat terus tidur ‘have a good day’ (selamat menempuhi hari yang indah) semua,” katanya.

Ainul Mardhiah, sebelum ini menghidap ‘Germ Cell Tumour’ dan selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya itu di sebuah hospital di London pada 10 Jun lalu.

Ketumbuhan pada mulut bayi itu yang mula membesar sejak dilahirkan hingga mencapai berat 200 gram, berjaya dibuang sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Sumber: hmetro dan ig