‘Bercinta Selama 9 Tahun,Isteri Meninggal Selepas 3 Bulan Kahwin’ Tiada Pesanan Terakhir Cuma Satu Ucapan Untuk Suamiku

Selama sembilan Tahun bercinta sejak di zaman bangku sekolah lagi, lepas itu bertunang pada Jun 2018 dan pasangan kekasih ini akhirnya ke jinjang pelamin pada 24 Mac 2019.
Namun suratan takdir, isteri tercintanya dijemput Ilahi akibat ketumbuhan otak tahap kritikal, genap tiga bulan perkahwinan mereka pada 24 Jun 2019.

Gambar-gambar kenangannya bersama arwah isteri semasa di sekolah menengah, tiga majlis iaitu pertunangan, pernikahan dan persandingan, menyambut 1 Syawal dikongsi di laman sosial, dan paling menghibakan adalah gambar pusara isterinya.

“Jadi, inilah kisah pendek, 2010 semasa kami tingkatan 5, sekolah yang sama,” menurut keterangannya, diikuti bebenang yang diulang kicau lebih 26,000 kali.

Bercakap kepada mStar, Mohamad Syahrain Azri Othman berkongsi perasaan dan kesedihannya mengenai isteri, Allahyarham Nurul Nazleatul Nadira Mohd Nazif, 26.

Perkongsian yang menyentuh emosi di laman sosial sehingga menjadi terkenal

Pemuda berusia 26 tahun itu berkata, isterinya seorang wanita yang manja dan pandai berdikari serta tidak suka menyusahkan orang lain.

“Kami tidak tahu langsung mengenai penyakit dia kerana dia seorang yang aktif dan kerja macam biasa. Isteri dimasukkan ke Hospital Temerloh di Pahang pada awal pagi 21 Jun lalu.
“Doktor mengesahkan ada ketumbuhan dalam otak isteri dan dia koma selama beberapa hari di bahagian kecemasan. Isteri meninggal dunia pada Isnin, 24 Jun lalu, tiga bulan selepas majlis perkahwinan kami,” katanya kepada mStar.


Kenangan ketika perkahwinan Mohamad Syahrain dan Nurul Nazleatul setelah bergelar suami isteri

Mohamad Syahrain berkata, walaupun bercinta sembilan tahun tetapi ia tidak seindah sewaktu mereka bergelar suami isteri kerana masing-masing sibuk dengan pelajaran.

“Selepas bergelar suami isteri, kami masih berjauhan berikutan isteri bertugas sebagai doktor pelatih di Temerloh, manakala saya sebagai penolong pengurus di Kuantan.

“Tetapi setiap minggu kami akan berjumpa apabila arwah ada kelapangan. Perasaan rindu tu makin hari makin membuak-buak kerana sembilan tahun kami tidak pernah terputus hubungan sampai macam ni.
“Dan sekarang, sungguh kekok untuk melalui hari-hari tanpanya kerana dia adalah tempat saya berkongsi kegembiraan dan kesedihan saya,” katanya sambil menambah dia dan isteri sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (SMKPPPTR) di Jerantut, Pahang.

Kenangan manis Raja Sehari

Menurut anak jati Temerloh itu, mereka sepatutnya bercuti bulan madu ke Maldives pada akhir bulan lalu, di mana destinasi percutian itu adalah impian isterinya.

“Bulan madu ke Maldives adalah hajat arwah, kami rancang sebelum kahwin lagi. Hotel banglo atas air dipilih arwah kerana impiannya untuk memori terindah kami.
“Semua persiapan untuk ke sana sudah ditempah dan ada yang telah dibuat bayaran penuh,” katanya yang reda dengan ketentuan Ilahi.

(Kiri) Tarikh-tarikh penting dinukilkan bersama isteri di abadikan sebagai kenangan indah. (Kanan) Ucapan hari ulangtahun dari isteri

Tiada pesanan terakhir daripada isteri, kerana kedua-duanya lebih banyak membincangkan tentang percutian bulan madu di Maldives bersama.
Walaupun hajat berbulan madu tidak kesampaian, Mohamad Syahrain berkata, kenangan paling manisnya adalah majlis perkahwinan mereka.

“Kenangan paling manis kami hanya majlis kahwin dan majlis pernikahan kami. Bagi kami, itu cita cita dan impian kami selepas berkenalan pada 2010.

“Cuma pesanan paling bermakna adalah ucapan hari ulang tahun saya pada 18 April lalu, antara kata-katanya yang berterima kasih kerana menjadikannya sebagai isteri dan diberi peluang menjadi isteri pada hari ulang saya kali ini,” katanya.

sumber : mstar