Belum Pun Reda Kemelut Dengan Aishah Firman Pula Dakwa Terima Berlian Palsu Dari Vida

Belum pun reda kemelutnya dengan penyanyi Aishah, nampaknya usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sekali lagi terpalit dengan dakwaan pemberian hadiah berlian palsu.

Kali ini penyanyi Indonesia, Firman Siagian tampil mendakwa hadiah subang berlian yang diterima daripada Hasmiza atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida juga tidak bernilai seperti yang diumumkan sebelum ini.

Menurut Firman, 41, barang kemas yang dikatakan bernilai RM30,000 itu diterima sebagai hadiah selaku pemenang tempat kelima program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang berlangsung pada Disember 2017.

Barang kemas berupa satu set subang yang diperlolehi Firman semasa menyertai GV4.

” Sekitar Mac 2018 saya mengunjungi sebuah kedai emas di Bandung untuk menyemak nilainya di Indonesia.

” Soalan pertama mereka ialah mengenai sijil berlian itu. Tapi saya maklumkan tidak ada kerana ia adalah hadiah.

” Lebih pelik apabila jurujual itu enggan memaklumkan sama ada berlian itu asli atau tidak,” katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.

Tambah Firman, keraguannya makin memuncak apabila mengetahui mengenai isu berlian palsu yang diterima penyanyi Aishah daripada Vida.

Firman dakwa terima nasib sama seperti Aishah.

Kes itu itu berakhir dengan baik apabila Aishah menerima ganti barang kemas pada nilai yang sama seperti dijanjikan iaitu RM80,000.

” Kalau Aishah yang menjadi juara pun dapat berlian palsu, apatah lagi saya di tempat kelima… logiknya begitu.

” Tentu sahaja saya ingin menuntut hak yang sama,” katanya.

Tambah Firman, dia segera menghubungi Vida bagi bertanya mengenai kesahihan subang berlian yang diberikan kepadanya.

” Kalau palsu, saya juga harus tuntut benda yang sama. Jadi saya menghubungi Datuk Seri Vida menerusi Whatsapp.

” Tapi hingga kini dia tidak menghiraukan saya,” katanya.

Tambah Firman, dia terbuka untuk menyelesaikan isu ini dengan baik sekiranya hadiah subang berlian yang dikatakan bernilai RM30,000 itu juga palsu.

” Kalau hadiah saya ini palsu, saya minta diganti semula,” katanya.

Terdahulu usahawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) hari ini memohon maaf secara terbuka kepada penyanyi Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin, 54, sebagai satu daripada tiga syarat hasil proses mediasi antara kedua-dua pihak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“ Saya membuat permohonan maaf ini selepas mengambil kira segala faktor dan kesan yang mana secara langsung membabitkan beberapa pihak lain terpalit sama dalam kes ini.

Menurutnya, permohonan maaf itu akan melengkapkan semua tiga syarat yang dipersetujui melalui proses mediasi iaitu menggantikan berlian asli berharga RM80,000 serta perlu membayar kos peguam Aishah sebanyak RM7,500 yang perlu dibuat pada atau sebelum 17 Julai lalu.

Sumber: mstar