Hebat Ayoh Wang kite..Selamber je halau Harimau dengan pegang ranting kayu macam tu je

BUKAN calang-calang, seorang lelaki yang dikenali sebagai Ayoh Wang oleh penduduk Kampung Besol, Bukit Besi dekat Dungun, berani berhadapan dengan seekor harimau sambil memegang ranting kayu serta `bercakap’ dengannya.

Ayoh Wang yang berusia lingkungan 60-an didakwa sebagai individu yang menghalau harimau berkenaan masuk semula ke hutan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Seorang saksi, Mohd Shah Aiman Mazlan, 24, yang merakam video dan gambar hingga tular di media sosial sejak tengah hari tadi berkata, kehadiran harimau itu dikesan sejak kelmarin oleh penduduk kampung dan semalam sudah dihalau masuk hutan.

“Ayoh Wang lah yang menghalau binatang berkenaan masuk hutan dan dia memang kerap dipanggil penduduk kampung jika menghadapi sebarang kecemasan.

“Hari ini (semalam) orang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu cuba menghalau harimau itu dengan melepaskan tiga das tembakan amaran, namun binatang itu tidak berganjak sehingga Ayoh Wang datang.

“Ayoh Wang bukan biasa-biasa, dia memang pakar menghalau haiwan berbisa dan berbahaya.

“Saya dapat dengar Ayoh Wang `bercakap’ dengan harimau berkenaan supaya pulang ke hutan dan jangan kacau penduduk di kampung ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

[VIDEO] Pak Belang muncul di tengah jalan raya di Dungun

[VIDEO] Kemunculan seekor harimau yang dirakam melalui dua video yang tular di laman sosial sejak tengah hari tadi disahkan berlaku di Dungun, Terengganu.Berita penuh di https://bit.ly/30BWxvd#kosmo #videoawam #pakbelang

Posted by Kosmo Online on Thursday, July 18, 2019

Menurutnya, harimau berkenaan seolah-olah faham dan masuk ke Hutan Simpan Bukit Besi berhampiran.

“Kehadiran harimau berkenaan bukan untuk membahayakan orang kampung, mungkin hanya mahu orang kampung mengetahui kewujudannya di hutan berdekatan.

“Kami sedikit pun tidak berasa terancam dan berharap PERHILITAN tidak menangkap harimau itu serta membiarkannya saja di habitat asal,” katanya.

Menurutnya, dia juga menafikan ada penduduk kampung yang membela harimau itu apabila melihat haiwan itu begitu jinak.

“Kalau betul harimau berkenaan keluar mencari mangsa, sudah lama penduduk kampung ini dimakannya, tetapi harimau ini langsung tidak usik manusia.

“Bayangkan, ada haiwan ternakan lalu di depannya pun tidak dilayan, kami pun pelik.

“Harimau ini memang jinak, saya nampak dia jilat tangan seorang pakcik yang jatuh tergolek atas jalan ketika cuba melarikan diri.

“Lebih menghairankan, harimau berkenaan seolah-olah hanya mahu bermain-main dengan penduduk kampung, ayam lalu depan mata pun tidak dilayan,” katanya.

Selain itu, Mohd Shah Aiman mengakui terdapat dua ekor harimau di kawasan itu tetapi gambar dan video yang tular adalah haiwan yang sama kerana seekor lagi sudah masuk semula ke hutan lebih awal.

SUMBER – Hmetro