Jangan Cepat Jatuh Hukum Pada Gadis Yang Memijak Al Quran, Lelaki Ini Jelaskan Kenapa

TANAH MERAH – Masyarakat jangan terus menghukum pelaku dan keluarga remaja perempuan yang memijak al-Quran namun perlu mushasabah diri atas kejadian itu.

Pengerusi Pakatan Harapan Tanah Merah, Bahari Mohd Nor berkata, melalui maklumat yang diperolehi remaja berkenaan merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) lembam.

Menurutnya, sepatutnya rakan sebaya atau kejiranan setempat tidak mengambil kesempatan dalam isu ini dengan terus menghukum pelaku.

“Seharusnya kita mengambil perhatian dan memberi nasihat kepada keluarga remaja itu dan menjadikan perkara ini pengajaran supaya mengawasi anak-anak remaja di luar sana,” katanya.

Katanya lagi, jangan kerana kejadian ini, kita terus menghukum dan menyalahkan remaja berkenaan di atas kenaifan mereka

“Siasat dulu latar belakang keluarganya dan selami permasalahan mereka dan jangan mudah mengeluarkan kata-kata yang juga boleh mengguris perasaan keluarga,” katanya.

Tambahnya lagi, dia sebagai seorang bapa yang mempunyai anak semakin meningkat remaja, penularan video itu juga memberi kesan terhadapnya.

“Sebagai bapa saya juga turut merasa sedih dengan kejadian ini memandangkan ia melibatkan perlakuan remaja perempuan dari daerah Tanah Merah.

“Apa yang kita harapkan supaya siasatan dapat dijalankan secara telus terhadap mereka yang terlibat menyebarkan video ini dan bukan hanya menyalahkan pelaku,” katanya.

Kes pijak al-Quran beri tempias pemerintahan Islam Kelantan


TUMPAT – Perbuatan biadab remaja yang memijak al-Quran dalam kejadian di Kusial, Tanah Merah turut memberi tempias kepada pemerintahan kerajaan Islam di Kelantan walaupun ia kes terpencil.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, walaupun ia hanya kes terpencil, namun tidak sepatutnya berlaku di negeri ini ketika kerajaan negeri berusaha melahirkan anak muda yang bermaruah dan berakhlak.

Bagaimanapun, beliau melihat kes yang berlaku itu sebagai satu cabaran dan ujian besar ALLAH dalam usaha kerajaan Kelantan membangun bersama Islam.

“Ini cabaran ketika kita memimpin atas nama Islam, tempat (negeri) kuatnya Islam, maka syaitan pun besar, kita akan berhadapan cabaran seperti ini ketika kita berusaha kuat untuk melahirkan orang yang lebih baik.

“Tetapi negeri yang tidak kuat Islam, tidak pula berbangkit perkara buruk”

“Walau pun sudah banyak program ilmu di bawah Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan diadakan untuk anak muda tetapi tidak semua orang dapat kita didik dan asuh,” katanya ditemui di Pantai Geting, semalam.

Ahmad sebelum itu merasmikan Himpunan Anak Muda anjuran kerajaan negeri yang dihadiri hampir 40,000 pengunjung yang dimeriahkan dengan himpunan kelab motor seluruh negeri Kelantan, bicara bersama Murabbi Sejuta Ummah, Azhar Idrus, sukan, lighting car show dan persembahan simfoni kesenian Islam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan.

Ahmad berkata, sepatutnya tindakan memijak al-Quran itu tidak berlaku kerana ia satu perbuatan yang amat teruk.

“Ada lagi segelintir rakyat Kelantan yang ‘berat’ (teruk), tidak sepatutnya berlaku perkara ini, dan berharap sangat pada keluarga remaja terbabit ambil tanggungjawab yang sebenar supaya tidak berulang kali kedua,” katanya.

Sumber : Sinar Harian