Eksklusif: Ikatan Pertunangan Syafie Naswip Dengan Aishah Azman Terlerai

Kelmarin pelbagai spekvlasi mula melanda media sosial apabila gambar-gambar pertunangan Syafie Naswip dan Aishah Azman serta gambar-gambar mereka bersama ‘hilang’ daripada Instagram masing-masing.

Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya kepada netizen dan juga teman-teman artis yang mula bertanya tentang perkara yang sama.

Melihat kepada Instagram mereka, kami mendapati bukan sahaja gambar-gambar bersama sudah tidak ada, mereka juga sudah tidak mengikuti antara satu sama lain.

Kami telah menghubungi Aishah yang ketika itu sedang menjalani satu penggambaran. Apabila ditanya tentang perkara tersebut, Aishah tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Buat masa sekarang, saya tidak mahu keluarkan apa-apa statement. Kalau pihak Ayie (Syafie Naswip) mahu berkata apa-apa, saya tidak boleh menghalang.

“Saya akui dugaan ketika bertunang sangat berat,” kata Aishah dalam nada sedih tapi bertegas tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan daripada pihaknya.

Kami kemudian cuba menghubungi Syafie Naswip beberapa kali dan hanya lewat malam tadi barulah panggilan berjawab.

Ditanya soalan yang sama tentang hubungan antara dia Aishah, Syafie terdiam seketika.

“Ya, kami sudah putus tunang. Itu sahaja kenyataan yang dapat saya berikan. Malah jika ada yang bertanya, saya tidak akan menjawab lagi tentang perkara ini,” kata Syafie.

Tambah Syafie, dia mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan bukan kerana sesiapa, tetapi atas persetujuan bersama.

“Tidak ada orang ketiga, mahupun masalah keluarga, tetapi saya rasa dugaan bertunang ini terlalu berat dan tidak mampu untuk meneruskan,” katanya mengulangi apa yang dikatakan oleh Aishah.

“Jika dugaan ketika ini sudah tidak mampu saya tanggung, bagaimana nanti apabila sudah berkahwin?

“Buat masa sekarang, mungkin ini adalah keputusan yang terbaik untuk kami berdua. Mungkin juga dugaan paling besar adalah soal kematangan diri saya,” tambah Syafie lagi.

Kata Syafie, dia tidak lagi akan membuat sebarang kenyataan tentang pertunangannya yang putus di tengah jalan.

“Ini kali pertama dan terakhir saya akan membuat kenyataan. Saya memohon maaf jika ada yang bertanya selepas ini, saya tidak akan menjawab apa-apa.

“Mereka boleh rujuk sahaja apa yang saya katakan ini daripada pihak Gempak,” tambah Syafie.

Ditanya bilakah tarikh pertunangannya putus, Syafie enggan memberikan sebarang komen. Begitu juga apabila ditanya sama ada mereka saling sayang menyayangi, Syafie tetap tidak mahu mengeluarkan apa-apa lagi kenyataan.

Syafie Naswip dan Aishah Azman bertunang pada satu majlis yang diadakan pada 7 April 2019, dan dijangka mendirikan rumah tangga hujung tahun ini. Namun, jodoh itu ketentuan Allah SWT.

Aishah dan Syafie mula berkawan sejak 2015 menerusi laman sosial Instagram dan hubungan cinta mereka mula terjalin sejak awal 2018.

Antara rakan artis yang hadir memeriahkan majlis pertunangan Syafie dan Aishah.

Pada majlis yang dihadiri 200 tetamu itu, Syafie menyerahkan lima dulang dan dan pasangannya turut membalas lima dulang berupa manisan.

Antara rakan-rakan artis yang turut hadir memeriahkan majlis iaitu Amelia Henderson, Sweet Qismina, Jasmine Suraya Chin, Aedy Ashraf, Syazuwan Hassan dan Fimie Don.

Aishah dan Syafie mengenakan busana berwarna biru muda daripada pereka fesyen Zamrimatouch dan pelakon wanita itu disolek oleh Khai Baha.

Sumber: Gempak , mStar